Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suspek yang dikaitkan dengan kejadian letupan sehingga menyebabkan kematian seorang pelayan restoran di Ampang baru-baru ini dikatakan belajar membuat bom melalui Youtube.

Hubungan sulit yang terjalin antara mangsa dan isteri suspek telah dikenalpasti sebagai motif kepada berlaku kejadian letupan dari bungkusan di hadapan sebuah restoran di Pandan Indah pada Khamis lalu.

Malah menurut sumber, suspek yang bekerja sebagai pembuat seramik disyaki telah mempelajari kaedah membuat bom buatan sendiri itu dengan mendapatkan ilmu dari Youtube.

Selain itu, sumber juga mendedahkan suspek yang juga seorang pembuat seramik itu telah mengesan hubungan sulit yang dijalinkan mangsa bersama isterinya sejak Mei 2022 lagi.

Mangsa yang bimbang selepas hubungan terlarangnya terbongkar dikatakan telah melarikan diri dari Kedah dan menetap di Ampang sebelum terkorban dalam insiden letupan  pada kejadian 29 Disember lalu.

Dalam pada itu, sumber juga berkata, Unit Forensik Polis Diraja Malaysia yang menyerbu rumah suspek di Serdang, Kedah berjaya menemui beberapa bahan menghasilkan bom yang akhirnya membawa kepada penahanannya bersama isterinya pada malam 3 Januari lalu.

BACA: Pelayan kedai makan maut selepas buka bungkusan misteri

Cemburu disyaki punca pelayan restoran mati dalam letupan bungkusan

Bungkusan meletup: Pasangan suami isteri diberkas polis

Penemuan beberapa bahan memproses untuk menghasilkan bom itu sekali gus menjadi petunjuk yang membongkar suspek disyaki terbabit dalam kejadian letupan itu.

Dalam pada itu, Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Sasikala Devi Subramaniam berkata, pihaknya berjaya mengesan dan menahan pasangan suami isteri berusia 33 dan 30 tahun di Kedah pada pukul 7.20 malam semalam.

“Pasangan itu telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang pagi tadi dan berjaya direman selama seminggu sehingga 10 Januari ini untuk disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan keranma membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamed Farouk Eshak  mengesahkan bahawa dalam kejadian 8.55 malam 29 Disember lalu, pelayan restoran yang berusia 28 tahun itu maut selepas menyentuh satu bungkusan ‘misteri’ yang telah ditemui di atas bonet keretanya.

Akibat letupan itu, mangsa telah mengalami kecederaan parah pada badan dan tangan.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Ampang dengan bantuan orang awam yang berada di lokasi insiden namun disahkan meninggal dunia pada pukul 9.45 malam.

Hasil siasatan polis di lokasi kejadian berjaya menemui beberapa objek dan kesan letupan antaranya kesan lekukan pada kereta mangsa. – MalaysiaGazette