Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan bercakap kepada media selepas Taklimat Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 i Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MUHD NA’IM, 11 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Konsep Kerajaan Perpaduan antara dua blok parti terbesar, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) boleh menjadi satu formula baharu dalam mendepani tuntutan politik masa hadapan di negara ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, sudah sampai masanya pimpinan dan akar umbi UMNO tidak lagi berfikiran negatif untuk menerima konsep itu dalam pembentukan kerajaan pada hari ini.

“Presiden mengajak orang-orang UMNO supaya tidak terlalu pesimistik dan bersifat optimistik dalam menghadapi cabaran politik di tahun mendatang ini terutamanya dalam mendepani enam Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Jika kekuatan BN dicampur dengan kekuatan PH, ia akan membuahkan satu formula baharu untuk negara dan rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

Tambahnya, kerjasama BN-PH di peringkat Kerajaan Persekutuan ketika ini boleh dijadikan sebagai tawaran baharu dalam pembentukan kerajaan dan politik kepada rakyat Malaysia.

“Nilai-nilai konservertif UMNO selama hampir 70 tahun wujud di negara ini ditambah dengan nilai-nilai reformasi, pragmatik dan progresif PH.

“Ia akan menyebabkan Kerajaan Perpaduan boleh memberikan tawaran nilai baharu kerajaan dan politik kepada rakyat Malaysia.

“Kekuatan setiap individu parti dalam Kerajaan Perpaduan itu akan memberikan tawaran terbaik yang boleh mengalahkan tawaran yang dibuat oleh parti lawan,” katanya.

Katanya lagi, kerjasama dua blok parti terbesar itu perlu dizahirkan di semua peringkat UMNO jika sebelum menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, pada tahun ini.

“Presiden mengatakan kerjasama ini mesti dizahirkan di semua peringkat, tanggapan saya dalam PRN nanti akan ada kerjasama.

“Ia dalam bentuk Kerajaan Perpaduan untuk berdepan dengan parti-parti yang bertanding dalam PRN nanti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast