KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Johari Ghani enggan mengulas mengenai kemunculan poster #RESETUMNO yang memaparkan gambar lapan pemimpin parti UMNO termasuk dirinya.
“Reset UMNO? Apa nak komen. Nanti dulu belum lagi (mahu keluarkan kenyataan),” katanya kepada media.
Hari ini, satu poster tular memaparkan lapan pemimpin UMNO yang digambarkan sebagai kumpulan yang bakal mencabar kepimpinan Ahmad Zahid pada pemilihan parti nanti.
Poster yang tular pada hari pertama Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) menamakan Johari sebagai calon Presiden UMNO diikuti Khairy Jamaluddin sebagai timbalan presiden.
Wan Rosdy yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Pahang pula diletakkan sebagai calon Naib Presiden UMNO sebaris dengan bekas Menteri Johor Datuk Seri Hasni Mohammad dan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Dalam pada itu, Johari berkata, sejumlah 3,000 perwakilan UMNO hari ini sebulat suara menerima pendekatan kerjasama parti itu dan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan.
Menurut beliau, perkara itu dizahirkan semua perwakilan dalam sesi taklimat khas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, petang tadi.
“Semua perwakilan terima sebulat suara Kerajaan Perpaduan,” katanya selepas menghadiri taklimat khas di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC), sebentar tadi.
Awal hari ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Ahmad Zahid akan menyampaikan taklimat mengenai perincian mengapa UMNO-BN menjalinkan kerjasama untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan dengan Pakatan Harapan (PH). -MalaysiaGazette