Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hadir pada Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MUHD NA’IM, 11 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Gerakan dalaman UMNO yang dipercayai cuba menukar kepimpinan sedia ada menerusi pemilihan parti pada tahun ini tidak mencerminkan pendirian keseluruhan ahli UMNO.

Naib Presidennya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, bagaimanapun UMNO sentiasa bersikap terbuka dan sedia menerima pandangan sesuai dengan semangat demokrasi.

“UMNO ini satu parti yang mengamalkan demokrasi dan ahlinya ramai, ada macam-macam pandangan, pendirian dan kempen.

“Tidak hairan ada yang menggunakan cara itu untuk menyampaikan hasrat, manakala ramai juga diam, tetapi mempunyai hasrat, tapi kita tidak melakukan perkara yang sama.

“Tak semestinya apa yang berlaku itu menggambar dan mencerminkan keseluruhan pandangan dan pendirian ahli UMNO,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Terdahulu beliau hadir ke Majlis Perasmian Serentak Sayap UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, malam ini.

Terdahulu tular poster bertajuk #RESETUMNO yang memaparkan beberapa figura penting dalam UMNO, kononnya wujud gerakan baharu menjelang pemilihan UMNO yang bakal diadakan pada tahun ini.

Poster itu memaparkan beberapa wajah pemimpin UMNO yang bakal mencabar penyandang jawatan penting dalam pemilihan parti itu, khususnya presiden, timbalan presiden, naib presiden, ketua wanita, ketua pergerakan pemuda dan ketua Puteri.

Antara yang dinamakan di dalam poster itu ialah Datuk Johari Abdul Ghani, Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Hasni Mohammad, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Dr Norani Ahmad, Shahril Hamdan dan Masliha Harun. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. yang nak reset sgt tu yang tu la yang selamatkan tengkuk sendiri bila umno di caci dihina dan difitnah.

Comments are closed.