KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Maritim Negeri Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan sekitar jam 10.10 pagi semalam.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Abd Razak Mohamed berkata, kapal ronda Maritim Malaysia telah mengesan sebuah bot nelayan tempatan kelas C dalam keadaan mencurigakan ketika melaksanakan rondaan rutin Op Tanjung.
Bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Hutan Melintang, Perak itu ditahan pada kedudukan 38 batu nautika barat laut Mukah Head.
Hasil pemeriksaan mendapati, bot dikendalikan empat warga Myanmar termasuk tekong berumur dalam lingkungan 31 hingga 51 tahun yang kesemuanya tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta melanggar syarat sah lesen bot.
Mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.
Bot serta kesemua kru ditahan termasuk kira-kira 500 kilogram hasil laut dibawa ke Jeti Limbong Batu Maung sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.
Maritim Malaysia mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang masih berdegil menggunakan pendatang tanpa izin (PATI) untuk bekerja di atas bot mereka walaupun tangkapan dan amaran telah diberikan sebelum ini.
Maritim Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang sengaja melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia. – MalaysiaGazette