Nik Saiful Adli Burhan

KUALA LUMPUR – Walaupun dengan siapa pun UMNO bersama, sewajarnya mendapat sokongan semua ahli parti.

Ini kerana kebijaksanaan kepimpinan parti hari ini menjadikan parti terus berperanan mewakili orang Melayu pada peringkat kerajaan.

Menurut Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Lt. Kol. Bersekutu Nik Saiful Adli Burhan, permuafakatan politik hari ini tiada bezanya dengan pembentukan gabungan Barisan Nasional (BN) pada 1973.

Kata beliau, ketika itu, BN dibentuk selepas Parti Perikatan tidak lagi relevan dan begitu juga apabila UMNO bekerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) dengan Pas dan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

“Kekalahan perlu ditebus, kecacatan perlu dibaiki. Selama mana ianya memberi manfaat kepada parti, bukannya menjaga kepentingan politik peribadi semata-mata.

“Justeru, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kali ini seharusnya menjadi medan membawa semua ahli parti menyokong Kerajaan Perpaduan sebagaimana mereka boleh menyokong kerajaan PN pada penggal lalu.

“Kestabilan politik negara acuan UMNO hanya mampu dicapai sekiranya ahli UMNO sendiri bersatu menyokong kepimpinan parti sebagai satu pasukan,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Sekretariat Peguam Muda, Pemuda UMNO Malaysia berkata, UMNO telah melalui jalan yang amat sukar sejak tewas dalam Pilihan Raya Umum (PRU14) pada 2018.

Katanya, menjadi pembangkang selama 22 bulan bukan suatu yang mudah bagi sebuah parti yang menjadi kerajaan puluhan tahun sejak merdeka lagi.

Menurut Nik Saiful Adli, pemilihan jawatankuasa UMNO 2018 telah menampilkan hanya calon yang berani membawa parti di saat kalah dan ada strategi sahaja boleh membawa UMNO kembali kuat dan diterima oleh rakyat keseluruhannya.

“Ramai lari tidak mahu menanggung kekalahan parti, lebih-lebih lagi apabila UMNO ketika itu tidak lagi mampu menjanjikan pulangan buat mereka.

“Untuk Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mengemudi kapal yang sedang karam bukanlah suatu yang mudah, apatah lagi dalam keadaan beliau tidak pernah bersedia mengambil alih kepimpinan daripada Datuk Seri Najib Razak ketika belum hilang lelah menghadapi pilihan raya.

“Adalah amat zalim dan tidak adil untuk menilai prestasi Presiden UMNO yang kali pertama memimpin parti sebagai pembangkang,” katanya.

Beliau berkata, memulakan semula kehebatan empayar yang sedang runtuh bukan suatu yang mampu dibuat sembarangan orang melainkan jika benar-benar hebat dan dibantu oleh pasukan yang hebat.

Pada zaman Presiden UMNO sekaranglah parti bangkit kembali menjadi kerajaan dengan PN iaitu daripada menjadi pembangkang kepada kerajaan dan akhirnya menjadi Perdana Menteri.

Malah, kata Nik Saiful Adli, selepas PRU ke-15, UMNO kembali membentuk Kerajaan Perpaduan atas titah Yang di-Pertuan Agong, malah dengan majoriti sokongan dua pertiga, suatu yang sudah lama tidak berlaku di Dewan Rakyat.

“Bukti yang jelas hanya UMNO mampu menerajui kestabilan. Dua pertiga sokongan Ahli Parlimen menjadikan kerajaan hari ini kerajaan yang kuat dan stabil,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast