JASIN – Dua ejen insurans maut selepas kenderaan dinaiki merempuh sebuah lori tangki di persimpangan lampu isyarat Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Serkam, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa maut di tempat kejadian adalah pemandu Toyota Vios, Badrul Shyam Noor Ibrahim, 31, danĀ penumpang Ezham Hazim Ahyat, 33.
Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Mohd Fadzli Othman berkata, ketika kejadian, lori tangki terbabit dipandu lelaki berusia 42 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Serkam menuju ke Jasin.
“Hasil siasatan awal dilakukan mendapati, semasa lampu isyarat berwarna hijau, lori tangki terbabit meneruskan perjalanan menuju ke Jasin.
“Dan semasa lori terbabit melepasi persimpangan lampu isyarat, kereta dinaiki mangsa yang datang dari arah Melaka menghala ke Muar, Johor telah merempuh bahagian sisi sebelah kiri kenderaan berat itu sehingga ia terbalik di tengah jalan,” katanya.
Tambahnya, rempuhan kuat itu, mengakibatkan kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang berada dilokasi kejadian.
“Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin, bagi proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – MalaysiaGazette.