Gambar hiasan

KAJANG – Jabatan Penjara Malaysia membenarkan lawatan keluarga penghuni penjara pada 24 dan 25 Januari ini sempena sambutan Tahun Baru China

Selain penjara lawatan keluarga turut dibenarkan kepada penghuni Pusat Pemulihan Akhlak, Pusat Pemulihan Khas, Tempat Tahanan Khas dan Sekolah Henry Gurney.

Jabatan Penjara berkata, keutamaan lawatan diberi kepada penghuni dalam kalangan kaum Cina sahaja dengan dua kaedah perjumpaan dilaksanakan iaitu secara bersemuka dan secara dalam talian (online/ video call).

Katanya, lawatan secara dalam talian akan bermula pada 26 hingga 28 Januari ini.

“Keluarga yang memilih kaedah bersemuka perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan iaitu waktu lawatan bermula dari jam 8.15 pagi hingga 4.15 petang,” katanya menerusi  kenyataan, hari ini.

Menurut Jabatan Penjara, keluarga yang merancang mengadakan lawatan diwajibkan membuat ujian RT-PCR atau ARTK-Ag (swab/saliva) yang sah laku tiga hari selepas pengambilan sampel dan tidak bergejala sebelum hadir ke institusi berkenaan.

Katanya, para pelawat perlu membawa Kad Lawatan serta Kad Pengenalan bagi memudahkan urusan dan mereka tidak dibenarkan membawa makanan dan minuman kepada penghuni, sebaliknya ia boleh dibeli di kantin penjara.

“Para pelawat juga tidak digalakkan memberi wang kepada penghuni memandangkan semua kemudahan asas telah disediakan oleh Jabatan Penjara.

“Sekiranya pelawat ingin memberi wang kepada penghuni atas urusan tertentu seperti bayaran yuran peperiksaan dan sebagainya, sila dapatkan resit rasmi PPT.28 sebagai akuan penerimaan.

“Pelawat adalah tertakluk kepada Akta dan Peraturan Penjara yang membolehkan pihak penjara membuat pemeriksaan fizikal ketika pelawat masuk dan keluar dari penjara,” ujarnya.

Menurut Jabatan Penjara, seorang penghuni penjara hanya dibenarkan untuk menerima sekali sahaja lawatan daripada keluarga dan lawatan perjumpaan hanya dibenarkan kepada pelawat yang membuat temujanji.

Katanya, terdapat tiga kaedah tempahan lawatan penguni iaitu menerusi sistem i-Visit di laman web: www.prison.gov.my; panggilan telefon di institusi berkenaan dan menerusi e-mel atau surat ke institusi berkenaan.

“Kemudian, pihak institusi penjara akan menetapkan tarikh dan sesi perjumpaan selepas tempahan dibuat,” katanya.

Orang ramai boleh menghubungi institusi berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut manakala maklumat institusi boleh didapati di laman web Jabatan Penjara Malaysia www.prison.gov.my. – MalaysiaGazette