MELAKA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyalurkan peruntukkan berjumlah RM380,000 untuk menaiktaraf dua lokasi pelancongan di negeri ini.
Menterinya Datuk Seri Tiong King Sing berkata, daripada jumlah itu, RM250,000 adalah sumbangan kementerian manakala bakinya menggunakan peruntukan khas beliau sebagai menteri.
“Hari ini saya mengadakan lawatan kerja sehari di Melaka untuk melihat bagaimanakah kita dapat adakan kerjasama untuk menaik taraf produk-produk pelancongan di sini.
“Sehubungan itu, MOTAC bersetuju menyalurkan RM250,000 untuk Taman Seribu Bunga di Ayer Keroh serta tambahan RM100,000 lagi di bawah peruntukan khas saya.
“Turut mendapat peruntukan khas adalah gereja Christ Church Melaka yang berusia 270 tahun sebanyak RM30,000,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Jonker Walk di Banda Hilir selepas mengadakan lawatan kerja seharinya ke Melaka hari ini.
Hadir sama Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Saraya Arbi, Exco Perpaduan, Penerangan, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna Ngwe Hee Sem, Pengarah MOTAC Melaka Jay Yeow C.C dan Pengerusi Jawatankuasa Jonker Walk Datuk Gan Tian Loo.
Mengulas lanjut, Tiong yang juga Ahli Parlimen Bintulu berkata, usaha untuk menaik taraf produk pelancongan di seluruh negara penting untuk menarik kunjungan pelancong dari seluruh dunia termasuk China, Thailand dan Indonesia.
“Sebab itu, kita juga amat berharap peranan media membantu mempromosikan pelancongan terutamanya di Melaka dan tidak memberikan mesej atau imej negatif kepada seluruh negara.
“Bantulah kita untuk terus memajukan mana-mana sektor dalam negara,” katanya – MalaysiaGazette.