Pembahas, Ghazalie Ansing berucap pada Sesi Perbahasan Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU 2021) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MALAYSIA GAZETTE, 14 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Langkah Barisan Nasional (BN) Sabah yang menarik sokongan daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dilihat sebagai tindakan bermaruah.

Ia bagi mengelakkan BN daripada terus ditipu pemimpin talam dua muka.

Perwakilan UMNO Sabah, Ghazalie Ansing berkata, ini kerana Perikatan Nasional (PN) di negeri itu masih bertopengkan GRS meskipun mereka sudah meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Apa berlaku krisis kelam-kabut, penyelamat buminya datang, boboiboy datang, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin datang, cuba menyelamatkan keadaan.

“Jangan lupa, kami pun ada boboiboy kami, YAB Presiden, saya jamin saya yakin dan percaya YAB Presiden akan membantu kami walaupun ada yang kata, sikit-sikit mengadu dengan bapa, kalau kita sakit, kita susah, tidak mengadu sama keluarga, sama siapa lagi?

“Kita serahkan perkara ini ke atas kebijaksanaan YAB Presiden dan Allah SWT,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 hari ini.

Pada Jumaat lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Sabah sebulat suara menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan kerajaan negeri berkuatkuasa serta-merta.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan perkara itu selepas mesyuarat bersama ADUN dan pimpinan UMNO Sabah pada malam 6 Januari lalu.

Kemelut politik Sabah tercetus apabila ada cubaan menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan Hajiji melalui Langkah Kinabalu atau Langkah Sutera pada 4 Januari lalu.

Ia susulan tindakan Bung mengumumkan pihaknya menamatkan kerjasama membentuk Kerajaan Negeri Sabah yang dimeterai sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) pada September 2020.

Menurut Ghazlie yang juga Ketua UMNO Bahagian Tawau, jika BN terus bersama Kerajaan Negeri Sabah, sudah pasti nasib wakil rakyat parti itu terus dipinggirkan.

“Penubuhan kerajaan di sini kalau kita bersama-sama dengan PN, kemanakah kita? Sudah pastinya kita dihumban ke laut dan gaung kerana kita telah merasainya bersama-sama,” katanya.

Katanya lagi, apa yang dilakukan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah itu merupakan langkah yang tepat daripada terus dikhianati pemimpin PN.

“Apa yang dibuat oleh Datuk Seri Bung itulah dia, alhamdulillah nasib kami dipimpin pemimpin yang tahan lasak, tahan digasak, tahan menggasak, ribut sekali pun tetap maju, mundurnya tiada, radu tetap radu menjadi pegangan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast