GUARRERO – Mexico telah menguatkuasakan salah satu undang-undang anti-tembakau yang paling ketat di dunia dengan menggubal larangan merokok di tempat awam.
Langkah itu pertama kali diluluskan pada 2021 juga termasuk pengharaman pengiklanan tembakau.
Beberapa negara Amerika Latin lain turut telah meluluskan undang-undang untuk mewujudkan ruang awam bebas asap rokok.
Undang-undang Mexico sedia ada pada tahun 2008 yang mewujudkan ruang bebas asap rokok di bar, restoran dan tempat kerja kini diperluaskan kepada larangan langsung di semua ruang awam termasuk taman, pantai, hotel, pejabat dan restoran.
Terdapat juga larangan sepenuhnya ke atas pengiklanan, promosi dan penajaan produk tembakau di mana rokok tidak boleh dipamerkan di dalam kedai.
Vapes dan rokok elektronik juga tertakluk kepada sekatan baharu yang lebih ketat, terutamanya di dalam rumah.
Pertubuhan Kesihatan Pan Amerika mengalu-alukan langkah itu dan memuji kerajaan Mexico kerana melaksanakan larangan itu.
Organisasi itu mengatakan bahawa penggunaan tembakau adalah punca kematian yang paling boleh dicegah di dunia dan bertanggungjawab untuk hampir satu juta kematian di Amerika setiap tahun, sama ada melalui penggunaan langsung atau pendedahan kepada asap rokok.
Bagaimanapun, sesetengah perokok kecewa dengan sifat drakonian undang-undang baru.
Pada dasarnya, ini bermakna ramai yang hanya dibenarkan merokok di rumah mereka atau kediaman persendirian.
Dengan rasuah polis berleluasa di Mexico, ramai yang khuatir dengan pengeluaran denda atau hukuman sebenar kerana dengan merokok di khalayak ramai, sesetengah pegawai akan menggunakannya sebagai alasan untuk mengambil rasuah. – Agensi