Tiga individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0berjumlah RM147,400, daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), dua tahun lalu.

MELAKA – Tiga individu didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM147,400, daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), dua tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Hafizi Ab Jamal, 33, Asmida Shahfika Abdul Rahman, 25, dan Nurul Ain Shamdudin, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus empat pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Muhammad Hafizi yang juga pengurus syarikat Rizky H&I Global berdepan dua pertuduhan didakwa mengemukakan butiran palsu melibatkan senarai nama pekerja tidak wujud untuk menuntut insentif berjumlah RM74,600.

Pemilik syarikat Roti Warisan Enterprise, Asmida Shahfika turut didakwa atas kesalahan sama dengan mengemukakan butir nama pekerja baharu yang bukan pekerja di syarikat miliknya melibatkan tuntuan berjumlah RM36,900.

Sementara itu, Nurul Ain yang juga Pengurus Syarikat Zaharain Enterprise turut didakwa kesalahan sama membabitkan jumlah RM35,900.

Kesemua kesalahan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 itu dikesan dilakukan di Pejabat PERKESO Negeri Melaka antara 19 Mei 2021 hingga 18 Jun 2021 lalu.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih daripada 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butir palsu itu atau RM10,000 mengikut mana-mana nilai lebih tinggi.

Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa Ikhwan Zaudi Nordin Mohd Yasri Yahya mencadangkan jaminan RM15,000 terhadap Asmida Shahfika dan Nurul Ain manakala RM40,000 terhadap Muhammad Hafizi.

Ketiga-tiga tertuduh turut diminta menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Elesabet dalam penghakimannya kemudian membenarkan Asmida Shahfika dan Nurul Ain masing-masing diikat jamin RM8,000 manakala Muhammad Hafizi dengan jumlah RM20,000.

Mahkamah turut membenarkan kesemua syarat tambahan selain menetapkan 16 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Asmida Shahfika dan Nurul Ain diwakili peguam, Hafizah Sani manakala Muhammad Hafizi tidak diwakili peguam. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast