Ahli Dewan Undangan Negeri Teruntum, Sim Chon Siang

SEPANG – Seramai empat lagi rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan di Myawaddy, Myanmar akan dibawa pulang selepas perayaan Tahun Baru Cina.

Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang berkata, mereka terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berjaya diselamatkan dan kini berada dalam proses untuk dibawa pulang.

Beliau berkata, sehingga kini seramai 91 mangsa telah berjaya diselamatkan sejak April 2022.

Dalam pada itu, Chon Siang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Teruntum berharap supaya keluarga mangsa penipuan dapat memahami kos tinggi yang ditanggung untuk membawa mereka pulang.

Jelasnya, kos itu merangkumi tiket penerbangan, tempat tinggal dan makan sepanjang proses sebelum mereka dibawa pulang.

“Ramai yang minta bantuan namun sesetengah ibu bapa apabila kita minta sedikit wang untuk menampung kos  membawa anak-anak mereka pulang, mereka fikir saya mahu ambil wang itu.

“Tiket penerbangan mangsa agak mahal kerana pembelian tiket dibuat oleh Imigresen Thailand dan kita harus patuh kepada prosedur yang ditetapkan,” katanya lagi.

Chon Siang bagaimanapun tidak dapat mendedahkan langkah untuk menyelamatkan mangsa-mangsa sindiket penipuan kerana ianya sulit.

“Kami tidak mahu sindiket mengetahui bagaimana kita selamatkan mereka kerana ia akan menyukarkan proses menyelamatkan mangsa-mangsa yang lain,” jelasnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Saya dihukum jalan itik, mencangkung berjam-jam – Shi Yu