Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan ketika mengadakan kunjung ziarah di rumah Ramlee di Cherating.

KUANTAN – Seorang suami yang berkorban berhenti kerja  demi menjaga isteri dan anak yang sakit menzahirkan rasa syukur apabila produk mengkuang yang dijualnya dapat memberi pendapatan.

Ramlee Mamat, 59, berkata, beliau terkejut dengan sambutan yang diberikan selepas kisahnya dilaporkan MalaysiaGazette baru-baru ini mendapat perhatian dan bantuan pelbagai pihak.

Produk mengkuang itu dihasilkan oleh isterinya, isteri Murni Md Daud, 58, yang pernah menjadi sebagai guru Kebajikan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) sebelum sakit.

Murni berkebolehan menganyam mengkuang untuk dijadikan beg, tikar, bekas dan sebagainya.

Produk kraftangan berasaskan mengkuang yang dihasilkan oleh Murni Md Daud

Ratusan produk mengkuang yang dihasilkan oleh isterinya yang menghidap penyakit radang sendi itu terjual apabila pelbagai pihak yang datang menziarah tertarik dengan kerja tangan Murni.

“Macam lawatan ziarah, ramai yang membeli barangan mengkuang ini secara tidak langsung menambah pendapatan yang dahulunya tiada selepas saya berhenti kerja.

“Sumbangan wang secara atas talian juga tidak putus-putus, dan pihak kami mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk pihak media yang membantu berkongsikan keluarga kami,” katanya kepada wartawan MalaysiaGazette.

ARTIKEL PELBAGAI : Suami berhenti kerja jaga anak, isteri sakit

Sementara itu, pihak kerajaan Pahang juga datang menyampaikan sumbangan kepada Murni dan anak lelakinya Mohammad Arif Hakimi Ramle, 21 tahun, yang disyaki menghidap penyakit ‘kaki gajah’.

Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga  Pahang, Datuk Sabariah Saidan berkata, Kerajaan Pahang bercadang untuk mewujudkan hub mengkuang di Cherating bagi meningkatkan ekonomi wanita di kawasan itu, selain usaha untuk membantu keluarga Ramlee.

“Kerajaan Negeri sememangnya prihatin terhadap rakyat yang memerlukan bantuan di Pahang terutama membabitkan aspek kesihatan kerana dari dulu Pejabat Menteri Besar Pahang yang akan menyalurkan bantuan sendiri.

“Sebelum tular kisah keluarga Ramlee ini,  kerajaan negeri dan Skuad Sayang UMNO  tidak pernah putus membantu rakyat sebab setiap kali laporan daripada pemimpin setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menziarahi keluarga itu di Jalan Bukit Palas, Cherating pada bersama-sama Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Kebajikan Masyarakat Pahang (MAKPEN) pada semalam.

Menurut Sabariah lagi, pada pembentangan Belanjawan Pahang Tahun 2023 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pahang pada Oktober tahun lalu telah memperuntukkan RM1 juta bagi mewujudkan Pusat Pengembangan Keusahawanan Wanita Pahang.

Empat daerah terpilih iaitu Kuantan, Maran, Temerloh dan Lipis akan dibuka menjadi pusat pembangunan untuk mengembangkan ekonomi golongan wanita. – MalaysiaGazette