Program UTeM Eco Fit Brisk Walk Bersama Canselor yang diadakan di sekitar Kampus Induk UTeM, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Lebih 1,000 orang pelajar dan staf Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menjayakan program UTeM Eco Fit Brisk Walk bersama Canselor baru-baru ini.

Program anjuran Pusat Sukan UTeM ini diserikan dengan penyertaan Canselor UTeM, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam di sekitar Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal.

Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, antara objektif program untuk menggalakkan budaya bersukan dan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan pelajar dan warga UTeM.

Beliau berkata, program ini juga menzahirkan sokongan UTeM kepada amalan tenaga hijau bagi penganjuran sukan sifar pelepasan karbon.

“Platform ini tentunya menjadi medan ramah mesra dan santai antara Tun Canselor bersama dengan pihak pengurusan tertinggi, warga kerja dan pelajar UTeM.

“Di samping itu, ianya turut menjadi elemen penyumbang kepada pembentukan Keluarga UTeM yang sihat dan kompeten serta melahirkan pelajar yang mempunyai nilai tambah,” katanya dalam kenyataan.

Turut bersama dalam program ini adalah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof Dr Zulkifilie Ibrahim, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof Ir Dr Ghazali Omar dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UTeM, Prof Madya Dr Sabri Mohamad.

Jelas Massila, antara pembentukan Keluarga UTeM adalah melonjak keupayaan mereka dalam menganjur dan menguruskan secara bersama program bercorak sukan sebegini.

“Program ini turut menguji kecergasan para peserta apabila perlu melengkapkan trek laluan sejauh 8.8 kilometer di samping menikmati keindahan dan kehijauan flora dalam Kampus Induk UTeM ini,” katanya. – MalaysiaGazette