Tiga pemilik syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas tuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0, Penjana, Pertubuhan Keselamatan Sosial, Perkeso, berjumlah RM136,100 dua tahun lalu.

MELAKA – Tiga pemilik syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, hari ini atas tuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 (Penjana) Pertubuhan Keselamatan Sosial, (Perkeso) berjumlah RM136,100 dua tahun lalu.

Ketiga-tiga tertuduh, Siti Marzila Daud, 46; Siti Nor Sofwah Ahmad, 26, dan Nick Farhan Zakiran Mahadi, 30, membuat pengakuan itu sejurus kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, Marzila yang juga pemilik kedai kek berdepan tuduhan memperdayakan Perkeso dengan mengemukakan dokumen mengandungi pernyataan palsu untuk menuntut insentif di bawah Penjana 2.0 berjumlah RM50,000.

Tertuduh didakwa mengemukakan nama pekerja baharu dalam dokumen berkenaan sedangkan nama tersebut bukan pekerja syarikatnya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Wisma Perkeso, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, (MITC) Ayer Keroh pada 8 Mac 2021.

Siti Nur Sofwah yang juga pemilik sebuah syarikat minuman teh dan Nick Farhan Zakiran sebagai pemilik syarikat kejuruteraan, masing-masing yang berdepan dengan satu pertuduhan, dikatakan melakukan perbuatan sama di tempat sama.

Siti Nur Sofwah didakwa membuat tuntutan palsu berjumlah RM41,000 pada pada 23 Mac 2021 manakala Nick Farhan Zakiran berjumlah RM45,100 pada 16 April 2021.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika disabitkan mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (2) akta sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butir palsu itu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Marzila dan Siti Nor Sofwah masing-masing diwakili peguam Hafizah Sani dan Lim Kah Ee dan Nick Farhan Zakiran tidak diwakili peguam.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Zander Lim Wai Keong mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin masing-masing berserta syarat melaporkan diri di pejabat SPRM Melaka sekali setiap bulan.

Hakim Elesabet kemudian membenarkan Marzila diikat jamin sebanyak RM15,000 manakala Siti Nur Sofwah dan Nick Farhan Zakiran masing-masing RM12,000 serta syarat dipohon pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 16 Februari depan ditetapkan untuk sebutan semula kes. – MalaysiaGazette.