MELAKA – Seorang penganggur direman tujuh hari bagi membantu siasatan kematian seorang wanita warga emas berusia 91 tahun yang disamun di rumahnya di Kampung Pulai Darat, Jasin, di sini awal pagi semalam.
Perintah tahanan reman sehingga Jumaat ini dikeluarkan Majistret Zuraidah Abu Bakar terhadap lelaki berusia 20 tahun itu di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, hari ini.
Perintah reman dikeluarkan selepas mendapat permohonan polis bagi menjalankan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan sabit kesalahan boleh dihukum mati.
Terdahulu suspek yang berpakaian lokap tiba di pekarangan kompleks mahkamah diiringi anggota polis pada jam 9.35 pagi.
Dalam kejadian pukul 1.50 pagi semalam, seorang warga emas ditemui maut dipercayai dibunuh dalam kejadian samun di Kampung Pulai Darat, Jasin.
Kematian mangsa, Misah Md. Amin, 91 yang dipercayai tinggal seorang diri di rumah tersebut, disedari jirannya yang menyewa di tanah warga emas berkenaan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Mohd. Fadzli Othman dilaporkan berkata, ekoran itu, seorang lelaki diberkas berhampiran kawasan kejadian pada jam 8 pagi semalam.
Tambahnya, suspek yang mempunyai tiga rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan berkaitan kes samun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette.