Hamzah Zainuddin ketika ditemui media di Rumah Terbuka PN di Menara PGRM, hari ini.

CHERAS – Pemberian duit semasa kempen pilihan raya bergantung kepada niat dan tujuan seseorang itu, kata  Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau yang mempertahankan kenyataan yang dibuat Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai pemberian tunai ketika kempen pilihan raya berkata, pemberian duit itu tidak sepatutnya menjadi fokus tetapi punca duit itu diberikan.

Beliau berkata, ada pengundi yang meminta wang daripada calon untuk kegunaan tertentu.

“Saya tidak pasti tentang itu,  tapi yang penting adalah niat memberi duit. Ini bukan tentang menerima wang, mereka yang minta dari calon ada yang nak guna untuk baiki rumah.

“Kerana tu kita kena hati-hati dalam niat kita memberi duit kepada yang meminta,” katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka PN di Menara PGRM, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan ), Datuk Dominic Lau Hoe Chai.

Abdul Hadi Awang yang juga hadir pada majlis tersebut enggan memberi sebarang ulasan kepada media.

Begitu juga dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Semalam Abdul Hadi berkata, pemberian wang tunai sewaktu kempen pilihan raya tidak menyalahi peraturan kerana ia hanyalah sedekah kepada pengundi oleh orang awam.

Beliau berkata demikian sebagai respons tindakan UMNO Terengganu memfailkan petisyen bagi kerusi Parlimen Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman.

Petisyen berkenaan dibuat kerana didakwa wujud rasuah kepada pengundi di ketiga-tiga kerusi terbabit ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Mengulas lanjut, Hamzah menegaskan pihaknya mempunyai bukti untuk menyangkal dakwaan yang dibuat terhadap kemenangan PN di ketiga-tiga kerusi berkenaan.

“Sudah tentu bila mereka cabar kita dengan petisyen kita akan pertikaikan. Kita ada bukti yang menunjukkan semua dakwaan tidak betul, petisyen itu dibuat kerana tak puas hsti dan sebagainya.

“Kita ada pasukan (peguam) yang mempertahankan. yang memastikan kita menang,” tambah beliau.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Cerdik hang.. niat dh tentu jelas utk minta org pangkah. Budak tadika pun tau. Cerdik sikit bila berbicara tu.

Comments are closed.