Neow Choo Seong
Neow Choo Seong

KUALA LUMPUR – MCA melahirkan bersimpati kepada mangsa dan keluarga mangsa insiden tembakan di selatan California yang meragut 11 nyawa serta mengutuk keras insiden yang menimbulkan isu keselamatan Amerika Syarikat (AS).

Menurut Timbalan Pengerusi Biro Komunikasi & Diplomasi Antarabangsa MCA, Neow Choo Seong, ia semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

“MCA menyeru agar semua rakyat Malaysia yang menetap atau berada di AS khususnya mereka yang berada di sekitar Monterey Park dan bandar berdekatan agar lebih berhati-hati dan segera menghubungi pejabat perwakilan Malaysia yang berdekatan sekiranya ada keperluan.

“Terdapat sekurang-kurangnya 36 kes tembakan besar-besaran telah dilaporkan berlaku di seluruh Amerika Syarikat setakat bulan ini.

“Kita juga sedia maklum bahawa Kerajaan AS ketika ini sedang berusaha serta masih berhadapan dengan sentimen Anti-Asia dan jenayah kebencian terhadap penduduk berketurunan Asia di negara itu.

“MCA berharap agar pihak Kedutaan Besar Malaysia di Washington D.C. dan pejabat Konsulat Jeneral di Los Angeles dan New York akan terus memantau keadaan keselamatan di AS dari semasa ke semasa, serta memberikan khidmat nasihat atau bantuan yang diperlukan kepada rakyat kita di sana,” katanya.

Insiden tembakan itu berlaku di kelab tarian di bandar Monterey Park, California, dekat Los Angeles pada Sabtu.

Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti motif di sebalik kejadian itu ketika ini. – MalaysiaGazette