Gambar hiasan paras air sungai di Melaka

MELAKA – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan amaran paras bahaya dan waspada dua sungai di Melaka yang menunjukkan trend peningkatan susulan hujan berterusan sejak pagi semalam.

JPS dalam kenyataannya berkata, bacaan terkini paras air di Stesen Sungai Duyong bagi daerah Melaka Tengah pada pukul 9.30 pagi tadi berada pada tahap bahaya iaitu 1.83 meter, melepasi aras bahaya 1.80 meter yang ditetapkan.

“Manakala bagi Stesen Barrage Sungai Melaka bacaan pada waktu sama melepasi paras berwaspada iaitu 1.44 meter berbanding satu meter ditetapkan,” katanya.

Ahad lalu, Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) JPS, meramalkan beberapa kawasan di enam negeri iaitu Johor, Melaka, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Sarawak berkemungkinan berdepan banjir kilat dalam tempoh 24 jam.

Di Melaka, daerah yang berisiko banjir kilat ialah di Melaka Tengah (Mukim Umbai, Mukim Telok Mas, Mukim Padang Temu, Mukim Alai, Mukim Ujong Pasir, Mukim Bukit Lintang, Mukim Padang Semabok dan Mukim Duyong.

Turut sama adalah Mukim Bukit Piatu, Mukim Bukit Katil, Mukim Bukit Rambai, Mukim Tangga Batu, Mukim Sungai Udang serta kawasan sekitarnya), manakala bagi daerah Jasin melibatkan Mukim Ayer Panas, Mukim Nyalas serta kawasan sekitarnya. – MalaysiaGazette.