Suspek dipercayai memecah masuk rumah melalui tingkap dapur berdasarkan kerosakan pada besi jeriji.

MELAKA – Keprihatinan kawasan kejiranan di Taman Temenggong, di sini, menyebabkan seorang penjenayah berputih mata bukan sahaja tidak sempat melarikan hasil rompakan, bahkan diberkas polis.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.20 pagi Jumaat lalu, suspek lelaki warga tempatan berusia 54 tahun diberkas pasukan polis yang membuat rondaan Op Selamat sempena Tahun Baharu Cina selepas menerima maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan yang disalurkan Balai Polis Bukit Baru kepada pasukan rondaan mengenai kejadian pecah masuk di kawasan perumahan terbabit.

“Sebaik tiba dilokasi, didapati seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di bahagian pintu hadapan rumah sebelum cuba melarikan diri.

“Tindakan pantas polis berjaya menangkap suspek di tingkat atas rumah terbabit walaupun berlaku sedikit pergelutan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Tambahnya, hasil pemeriksaan pada tubuh lelaki berkenaan menemukan sepasang sarung tangan serta satu lampu suluh di dalam poket seluar yang dipakai.

“Kita percaya, semua barang berkenaan yang dirampas digunakan untuk memecah masuk rumah berdasarkan kesan kerosakan pada besi jeriji tingkap di bahagian dapur,” katanya.

Tambahnya, suspek direman selama enam hari sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah. – MalaysiaGazette