Dua jiran, Muhammad Fuad Jahaya, (bawah) dan Rosli Baba (atas) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan telah melakukan gaduh gempar Disember lalu. Muhammad Fuad yang juga seorang guru turut mengaku tidak bersalah atas dakwaan mencederakan isteri Rosli yang merupakan pesara guru.

MELAKA – Seorang guru dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan isteri jirannya yang merupakan seorang pesara guru dan bergaduh dengan suami wanita itu pada Disember lalu.

Tertuduh, Muhammad Fuad Jahaya, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja menyebabkan cedera kepada Aziah Omar, 54, dengan cara memukul di bahagian kepala dan lengan menggunakan tangannya.

Kesalahan itu dilakukan di alamat Jalan Bertam Setia 12, Taman Bertam Setia, dalam daerah Melaka Tengah, di sini kira-kira pukul 1 tengah hari 9 Disember lalu.

Difahamkan, kejadian berpunca daripada perselisihan faham berpunca daripada isu kawasan parkir antara tertuduh dengan jirannya, seorang pesara guru yang juga suami kepada Aziah.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh turut berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan di tempat dan masa yang sama atas kesalahan bergaduh dengan suami Aziah.

Mengikut pertuduhan dalam prosiding berasingan, Fuad dan Rosli Baba, 60, yang mengaku tidak bersalah didakwa secara bersama-sama telah melakukan gaduh gempar dengan memukul antara satu sama lain.

Sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Mohammad Naim Abd. Jalil manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mohammad Naim menawarkan Muhammad Fuad diikat jamin RM6,000 bagi kesalahan mengikut Seksyen 323 manakala RM5,000 masing-masing terhadap Rosli dan Muhammad Fuad di bawah Seksyen 160.

Majistret Mazana kemudian menetapkan Muhammad Fuad dan Rosli masing-masing diikat jamin RM1,000 dan RM500 serta menetapkan 13 Mac ini untuk sebutan semula kes. – MalaysiaGazette.