Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melawat tapak pameran selepas Majlis Pelancaran Karnival Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 28 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan merasmikan Karnival Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 2023 di Dataran Merdeka.

Seri Paduka kemudian mengurniakan anugerah Ikon Usahawan MAIWP kepada Robiatul Adawiah Ibrahim, seorang pengusaha produk durian crepe jenama Rabi, hasil bimbingan dan didikan daripada MAIWP.

Penerima Anugerah Ikon Usahawan MAIWP, Robiatul Adawiah Ibrahim bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Karnival Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 28 JANUARI 2023.

Agong turut mengurniakan anugerah Ikon Pendidikan MAIWP kepada Dr Muhammad Ameerullah Sahudin iaitu pensyarah kanan di Jabatan Kimia, Universiti Malaya.

Muhammad Ameerullah adalah bekas pelajar Sekolah Menengah MAIWP yang menerima bantuan zakat fisabilillah MAIWP sepanjang persekolahan dan pengajian di institusi pengajian tinggi.

Penerima Anugerah Ikon Pendidikan MAIWP 2023, Dr. Mohammad Ameerullah Sahudin bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Karnival Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 28 JANUARI 2023.

Kedua-dua penerima anugerah itu membawa pulang sijil penghargaan, plak serta cek berjumlah RM3,000.

Sebelum berangkat pulang, Seri Paduka berdua berkenan meluangkan masa meninjau dan melawat reruai gerai jualan usahawan MAIWP serta menyantuni para pengunjung karnival.

urut hadir pada majlis itu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Pengerusi MAIWP Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar.

Karnival yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini memberi peluang kepada masyarakat untuk mendekati MAIWP.

Ia menggabungkan pameran jualan usahawan asnaf, perkhidmatan daripada institusi pendidikan dan kesihatan di bawah MAIWP itu serta pelbagai aktiviti lain.

Bertemakan Memperkasa dan Berdaya Usaha-Menuju 50 Tahun Kecemerlangan MAIWP, sebanyak 100 reruai disediakan di karnival itu yang mempamerkan produk usahawan asnaf MAIWP. Turut membuka reruai ialah rakan strategik agensi itu.

Malam ini, pengunjung akan disajikan persembahan Tempur Tanpa Senjata oleh Tentera Darat Malaysia dan persembahan kumpulan nasyid popular, Rabbani.

Antara acara yang berlangsung esok ialah MAIWP Run 2023 dan Walimatul Urus Perdana membabitkan 100 pasangan pengantin terdiri daripada asnaf, fakir, miskin dan saudara baharu yang akan diarak menaiki bas Hop on Hop Off KL mengelilingi Jalan Raja Laut hingga ke tapak karnival di Dataran Merdeka untuk disandingkan. – MalaysiaGazette