KUALA LUMPUR – Jangkaan dan ramalan awal kebanyakan pakar ekonomi bahawa permulaan tahun 2023 menyaksikan berlakunya kemelesetan ekonomi dunia bakal menjadi kenyataan.
Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, minggu ini, dunia menyaksikan seramai 12,000 orang pekerja dari Syarikat Google diberhentikan kerja dalam kesiapsagaan mendepani kemelesetan ekonomi dunia.
Katanya, seramai 18,000 orang pekerja pula diberhentikan oleh Syarikat Amazon dan 10,000 orang pekerja diberhentikan oleh syarikat Microsoft.
Terbaru, syarikat permotoran Ford memberhentikan 3,000 orang pekerja dari Eropah dan Jerman, ujarnya.
“Keadaan ekonomi sebegini menunjukkan negara kuasa besar sudah menerima tempias kemelesetan ekonomi. Ini bermakna, negara kita Malaysia bakal berdepan situasi sama tidak lama lagi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Justeru DPIM, katanya, menyeru kerajaan bertindak pantas dalam mengekang situasi buruk itu daripada menimpa negara ini.
Tambah beliau, DPIM turut menggesa kerajaan untuk memperkasa sektor keusahawanan secepat mungkin agar rakyat dapat menjana pendapatan sendiri di samping membukan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Dalam pada Shahir menegaskan, pihaknya menyeru kerajaan supaya mempercepatkan pelan sekuriti makanan negara atau “food security” bagi mengelak berlakunya kebergantungan terhadap makanan asas import.
Katanya, DPIM turut menyeru kerajaan untuk mengawal harga barangan asas bagi mengelakkan kenaikan harga barangan secara mendadak.
Jelas beliau, benar bahawa harga dikawal oleh penawaran dan permintaan namun ianya di luar kawalan kerana pasaran antarabangsa yang terbuka.
Tambahnya, kerajaan sepatutnya mengawal perkara yang berada dalam kawalan seperti tiga perkara yang telah dicadangkan oleh DPIM.
“DPIM telah memberikan formula baharu kepada kerajaan dan menteri berkaitan. Janganlah asyik mahu memulaukan ayam dek harga ayam naik atau memulaukan makan di restoran dek harga makanan naik.
“Formula memulaukan barangan tidak akan berhasil. Berpijaklah kepada realiti dan bertindak pantas dengan menggunakan formula ekonomi yang dicadangkan DPIM demi kesejahteraan Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette