Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar (dua kanan) selepas sidang media mengenai pemecatan keahliannya oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO ketika di Karangkraf, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 30 JANUARI 2023.

SHAH ALAM – Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar  terkilan apabila beliau dihalang bertemu dengan para penyokongnya di Parlimen Tanjung Karang semalam.

Beliau tidak menolak kemungkinan ia angkara sabotaj pihak tertentu di dalam UMNO di bahagian itu yang cuba merebut jawatan yang digalasnya sebelum ini.

“Semalam, saya sepatutnya jumpa bukan sahaja ahli UMNO bahkan kawan-kawan hendak ucap terima kasih atas sokongan yang diberikan kepada saya selama ini.

“Saya kena mengenang budi, orang Tanjong Karang yang menyokong saya selama ini.

“Nampaknya ada sabotaj, saya dapat tahu orang UMNO sendiri telefon hingga LPP (Lembaga Pertubuhan Peladang) Tanjong Karang diarahkan tidak benarkan perjumpaan itu,” katanya pada sidang media di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini hari ini.

Sebelum ini, majlis ramah mesra bersama bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu di Institut Pengurusan Peladang Tanjung Karang petang semalam dibatalkan pada saat akhir.

Perkara itu dimaklumkan oleh setiausaha akhbarnya, Mad Jeli yang mengesahkan perkara itu tanpa memberitahu punca dan sebab majlis itu terpaksa ditangguhkan semalam.

Dalam pada itu, Noh mempersoalkan tindakan itu sedangkan beliau hanya mahu menganjurkan majlis makan bukan ceramah politik.

“Ya, memang saya rasa terkilan kerana masih ada kumpulan yang takut dengan bayang-bayang. Itu bukan perjumpaan politik, saya bukan wakil rakyat, saya bukan ahli UMNO atau mana-mana parti pun.

“Takkan saya nak buat majlis berjumpa dengan rakyat pun tak boleh, ini bukan kempen politik,” katanya.

Katanya lagi, sepatutnya orang UMNO terbabit tidak perlu gusar mahu pun bimbang kerana sudah dipecat daripada parti itu.

“Sepatunya mereka ini gembira, bertepuk tangan, yang mana berangan nak jadi ketua bahagian, nak jadi calon. Sepatutnya mereka ini kena buat kenduri kesyukuran sebab saya sudah dipecat.

“Tapi kenapa takut bila saya nak berjumpa dengan orang Tanjong Karang nak ucap terima kasih, itu pun dihalang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette