JASIN – Dua beradik maut selepas motosikal dinaiki terbabas sebelum salah seorang mangsa tercampak di atas jalan dan dirempuh sebuah kenderaan di Jalan Ayer Keroh- Gapam di sini, semalam.
Akibatnya, mangsa pembonceng motosikal Nurul Faqihah Ramli, 21, yang terjatuh di atas jalan.
Adik lelakinya, Hijjaz Kasturi, 19, yang tercampak ke dalam longkong maut ditempat kejadian selepas motosikal itu merempuh sebatang pokok.
Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Mohd Fadzli Othman berkata, ketika kejadian pukul 4.30 petang itu, kedua-dua mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Gapam menuju ke Ayer Keroh untuk menikmati donut terkenal di sana.
“Siasatan awal mendapati motosikal jenis Yamaha Y15 dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan menyebabkan pemboncengnya tercampak di atas jalan manakala adiknya terhumban ke dalam longkang.
“Saksi turut mendakwa selepas Nurul Faqihah tercampak, sebuah motosikal telah melanggarnya namun tidak nampak impak pertama nahas semasa ia mula-mula berlaku,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahya akibat kemalangan, dua beradik itu yang beralamat di Felda Kemendor di sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah kepala dan badan.
Mayat dihantar ke Hospital Jasin untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette