MELAKA – Padah berebut pelanggan kenderaan tunda, sembilan pekerja trak tunda atau digelar longkai ditahan polis selepas terbabit dalam pergaduhan berkumpulan di Batu Berendam, di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kesemua sembilan lelaki berusia 20 hingga 64 tahun itu dicekup selepas pihaknya menerima aduan pada jam 7.30 malam.

Menurutnya, kejadian dipercayai berpunca daripada pertelingkahan dua kumpulan trak tunda yang berebut pelanggan di hadapan sebuah stesen minyak di Jalan Dato’ Haji Mohd Zain yang turut tular di laman sosial Facebook.

“Susulan itu, sepasukan polis dari cawangan D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, ke tempat kejadian sebelum menahan semua suspek.

“Hasil siasatan dijalankan, kesemua lelaki berusia 20 hingga 64 tahun itu mengaku terlibat dalam kes gaduh gempar itu,” katanya.

Menurutnya, permohonan reman terhadap semua suspek akan dibuat di Mahkamah Ayer Keroh pagi ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette.