Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berucap pada Majlis Dialog Belanjawan 2023 di Bangunan SUK, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 31 JANUARI 2023.

SHAH ALAM – Kerajaan setakat ini belum ada cadangan untuk memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kata Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Walaupun GST boleh membantu menambah pendapatan negara, tetapi katanya, kerajaan tidak pernah berbincang mengenainya.

Sebaliknya, kata beliau, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan beberapa langkah penambahbaikan ke atas sistem pingutan cukai sedia ada.

“Kita belum tahu sama ada ada cukai baru atau tidak. Cuma yang pasti yang saya tahu ialah tidak ada perbincangan dalam Kerajaan Perpaduan ini sejak ditubuhkan mengenai GST. Tidak ada perbincangan mengenainya sehingga hari ini.

“Namun antara perkara yang ada dicadangkan ialah beberapa kaedah untuk menambah pendapatan negara ini melalui penguatkuasaan yang lebih baik terhadap kebolosan hasil.

“Kebolosan melalui penyeludupan di sempadan serta menambahbaikkan sistem pungutan cukai di Kastam dan Imigresen supaya tidak bolos. Contohnya, cukai dari rokok, minuman keras dan barangan bersubsidi,” katanya kepada media selepas Majlis Dialog Belanjawan 2023 peringkat Selangor di Dewan Jubli Perak petang ini.

Kata Ahmad, beliau tertarik dengan kaedah digunakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam usaha mengutip cukai daripada syarikat.

Menurut beliau, kaedah digunakan ialah “membantu bukan mengejar” agar dengan cara itu syarikat yang cuba mengelak daripada membayar cukai akhirnya melaksanakan tanggungjawabnya sebagai pembayar cukai.

“Dengan lain perkataan, LHDN pergi ke syarikat yang dikenakan cukai lebih daripada apa yang diisytiharkan itu dengan kaedah membantu bukan dengan menguatkuasakan. Itu kaedah yang dibuat oleh LHDN.

“Kaedah yang dibuat oleh kastam pula, mereka hendak menambah dari sudut kecekapan penguatkuasaan. Misalnya, kehilangan cukai daripada rokok, minuman keras dan barangan bersubsidi.

“Semua ini kalau kita atur (urus) dengan baik, kita boleh dapat tambahan pendapatan,” katanya. – MalaysiaGazette