MELAKA – Tiga beranak nyaris maut apabila gerai jualan belacan dan cencaluk diusahakan musnah dirempuh sebuah kereta di Jalan Klebang Besar, Kampung Pinang Batang Tiga, Lereh, di sini tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.15 tengah hari itu, mangsa, Junaidah Maarof, 45, dan anaknya Rabiatul Adawiyah Abu Bakar, 23, masing-masing cedera di kepala dan kaki akibat tersepit antara kereta dan rak jualan belacan, cencaluk, kerepek dan kuih muih tempatan.
Seorang lagi mangsa, Abu Bakar Abd Aziz, 56, berkata, dia bagaimanapun bernasib baik kerana berada di kaki lima kedai dan sedang berbual bersama isteri dan anak perempuan yang berada di dalam.
“Ketika kami sedang berbual, tiba-tiba dalam sekelip mata datang sebuah kereta dari arah pusat bandar merempuh gerai belacan kami menyebabkan anak dan isteri terperangkap di dalam.
“Saya terus menerpa ke arah isteri dan anak apabila terdengar jeritan meminta tolong sebelum mendapati kakinya tersepit antara kereta dan rak jualan,” katanya ketika ditemui di lokasi di sini hari ini.
Menurutnya, dia terpaksa mengambil masa hampir 15 minit untuk menyelamatkan isteri dan anaknya yang cedera di kaki dan kepala sebelum kedua-dua mereka dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Mujurlah, waktu kejadian kebetulan ada bomba melalui kawasan ini dan terus memberikan pertolongan.
“Pada masa sama, saya terdengar jeritan pemandu lelaki dan penumpang wanita kereta jenis Peugeot berusia sekitar 20-an yang turut dikejarkan ke hospital,” katanya.
Tambahnya, kejadian itu adalah kali pertama berlaku sepanjang 20 tahun mengusahakan jualan belacan, cencaluk, kerepek dan kuih muih tempatan itu menyebabkannya kerugian lebih RM20,000 apabila dua motosikal yang diletakkan di hadapan kedai turut dirempuh. – MalaysiaGazette.