Pengebom bunuh diri disyaki menyasarkan anggota polis wilayah Khyber Pakhtunkhwa. Foto: Twitter

KUALA LUMPUR – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan bom berani mati di sebuah masjid di Police Lines, Peshawar di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Pakistan kelmarin.

Menurut Kementerian Luar, Malaysia merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa, rakyat serta kerajaan Pakistan.

Katanya, atas insiden tragis yang mengorbankan 96 nyawa dengan lebih 100 mangsa cedera, Malaysia mengulangi pendirian menolak sebarang tindakan keganasan.

“Kami bersolidariti bersama rakyat Pakistan dalam memerangi keganasan. Kami menyeru agar pelaku jenayah kejam ini dibawa ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rentetan itu, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad akan terus memantau perkembangan terkini insiden itu serta berhubung dengan pihak berkuasa tempatan.

Suruhanjaya tersebut turut menasihatkan rakyat Malaysia di Pakistan agar berwaspada dalam setiap aktiviti mereka.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan boleh menghubungi talian (+92 5120 2900) atau e-mel [email protected].

Setakat ini, lebih 220 jemaah dilaporkan cedera dalam letupan itu dengan kebanyakan mangsa terdiri daripada anggota polis.

Sebelum ini, media melaporkan pengebom bunuh diri tersebut disyaki menyasarkan anggota polis di wilayah berkenaan. – MalaysiaGazette