Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jalan Ampang yang cukup sinonim dengan kawasan kedutaan di ibu kota menjadi lambang kemewahan bagi Picasso Residence yang bakal siap menjelang hujung tahun ini.

Kediaman dua blok yang dibina pemaju Premier De Muara Sdn Bhd (PDMSB) dengan keseluruhan 472 unit itu bakal dihiasi pemandangan Menara Berkembar Petronas (KLCC), Genting Highlands dan Mont Kiara.

Pengarah PDMSB, Datuk Andrew Tan berkata, pihaknya menyasarkan kediaman itu menjadi pilihan bagi mereka yang mencari rumah yang berkonsepkan kekeluargaan.

“Konsep kediaman ini dipanggil home kerana sasaran pasaran kita berorientasikan keluarga. Kita ada dua blok iaitu Blok A akan siap September ini dan Blok B dijangka siap pada September tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan galeri jualan kediaman tersebut di sini hari ini.

David Hew

Jelasnya, residensi itu sepatutnya siap pada 2020, namun ia tergendala susulan pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

Bagaimanapun, menurut Andrew, masalah itu tidak menjejaskan harga pasaran yang telah dipersetujui oleh pembeli tetapi hanya berlaku perubahan pakej.

“Penangguhan itu tidak jejaskan harga yang telah ditetapkan cuma kita ubah pakej sahaja.

”Sebelum ini kita ada beberapa pakej seperti rumah berkelengkapan penuh dan Malaysia My Second Home (MM2H), jadi kita buat perubahan semula mengikut citarasa tempatan,” ujarnya.

Ruang dalaman contoh jenis B

Lebih menarik, Picasso Residence juga menjadi kediaman pertama di negara ini yang menerima pembelian menerusi pasaran kripto dengan kerjasama syarikat pemasaran penjualan kondominium dikenali Innobrick.

Ketua Pegawai Eksekutif Innobrick, David Hew menjelaskan, pemain kripto yang mempunyai aset digital boleh menukar nilai tersebut kepada aset tetap melalui beberapa proses yang dikendali mereka.

Residensi berkeluasan 3.53 hektar itu menawarkan empat jenis pelan susun atur unit antara 1,013 hingga 2,480 kaki persegi dengan harga bermula RM1.4 hingga RM2.4 juta.

Pemilik kediaman bukan hanya menikmati pemandangan ikonik ibu kota, malah turut ditawarkan kemudahan umum seperti pusat penjagaan kanak-kanak, perpustakaan, jakuzi, sauna dan sky games room. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast