Piegawai perubatan Hospital Sultanah Hajjah Kalsom berjaya melakukan pembedahan laparoscopic buat pertama kali melibatkan Jabatan Obstetrik & Ginekologi dengan bantuan kepakaran dari Hospital Kuala Lipis, hari ini

KUANTAN – Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, di Cameron Highlands berjaya menjalankan pembedahan laparoskopi buat pertama kali hari ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, kejayaan itu bermula selepas melakukan pembedahan pembiusan am dalam pembedahan Orthopedik pada 1 Disember tahun lalu.

Sejak itu, perkhidmatan pembedahan pembiusan am telah dikembangkan sejajar dengan inisiatif pembedahan global.

“Sehingga kini, sebanyak 17 kes anestesia am dan sembilan kes anestesia tulang belakang telah berjaya dijalankan di hospital ini.

“Pada hari ini pembedahan laparoscopic buat pertama kali melibatkan Jabatan Obstetrik & Ginekologi dengan bantuan kepakaran dari Hospital Kuala Lipis.

“Pembedahan kali ini telah dijalankan ke atas seorang wanita berumur 21 tahun dari kaum Orang Asli Kg Terisu, Cameron Highlands yang menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan di kilang telur melalui pembedahan laparoskopi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pembedahan laparoskopi adalah pembedahan dalam ruang abdomen dengan menggunakan sistem camera yang kecil bersaiz kurang dari 1 sentimeter (cm).

Dr. Norazimi berkata, hirisan kulit adalah kecil sahaja dan seterusnya pesakit akan berasa kesakitan yang minimum di tempat pembedahan dan dapat discaj lebih awal daripada cara pembedahan konvensional.

Justeru katanya, pembedahan sebegini akan digiatkan lagi untuk meneruskan inisiatif pembedahan global di masa akan datang.

Beliau berkata, JKNP komited membuat perancangan masa hadapan untuk menambah baik perkhidmatan kesihatan dan pembedahan di hospital ini untuk dimanfaatkan oleh penduduk di Cameron Highlands.

Untuk rekod, Hospital Sultanah Hajjah Kalsom merupakan hospital daerah tanpa pakar yang telah mula beroperasi sejak 1 Januari 2007 dan telah memulakan perkhidmatan pembedahan kecil bermula hujung tahun 2018. – MalaysiaGazette