Mohamed Khaled Nordin melancarkan pembukaan kampus baharu Universiti UCSI di Bangladesh, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Universiti UCSI merentasi pasaran pendidikan luar negara dengan melancarkan kampus cawangan antarabangsa pertamanya di Bangladesh.

Universiti UCSI Kampus Bangladesh, kampus baharu itu berpangkalan di ibu kota Dhaka, yang mana operasinya bakal bermula Mei tahun ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pelancaran itu bersesuaian dengan rancangan pengantarabangsaan kementerian.

”Universiti UCSI Kampus Bangladesh akan mengangkat status Malaysia sebagai hab pendidikan global dan inisiatif pasca pandemik UCSI ini wajar dipuji. Saya galakkan lebih banyak pihak swasta yang mengikut jejak sama.

”Jenama pengajian tinggi di Malaysia sinonim dengan kualiti dan kita boleh memberi impak kepada pasaran antarabangsa," katanya pada majlis prapelancaran Universiti UCSI Kampus Cawangan Antarabangsa di Bangladesh, di Hotel Le Quadri, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau juga menyatakan penghargaan kepada Insight Institute of Learning – rakan kongsi tempatan UCSI di Bangladesh kerana mengutamakan tawaran
pengajian tinggi Malaysia.

Naib Canselor Universiti UCSI, Prof Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir berkata, kampus baharu UCSI itu akan memfokus kepada pengajaran dan pembelajaran sebelum beralih kepada rantai nilai (value chain).

”Untuk mengoptimumkan kemenjadian graduan dan memperbaiki peluang, kami akan menawarkan program yang mencerminkan keperluan dan trend ekonomi seperti digariskan oleh rakan kongsi kami di Bangladesh.

”Kami akan tetap mengutamakan penyelidikan, pendidikan eksekutif dan kerjasama merentas kampus sejajar dengan pertumbuhan organik kampus baharu ini," katanya.

UCSI Kampus Bangladesh akan memulakan operasi di kawasan seluas 45,000 kaki persegi dengan menawarkan 24 program ijazah dan sarjana dalam bidang perniagaan, sains komputer, kejuruteraan, seni bina, sains sosial dan reka bentuk.

Kampus ini dijangka bakal memiliki sekitar 5,000 pelajar dalam tempoh tujuh tahun.

Operasi akan dipindah ke tapak seluas tiga ekar bagi menempatkan lebih 200,000 kaki persegi ruang pembelajaran terkini dalam tempoh tersebut.

UCSI merupakan universiti terkemuka di Malaysia mengikut QS World University Rankings 2023. Tersenarai di kedudukan ke- 284, UCSI kini berada dalam kelompok terbaik 1% di dunia.

Setakat ini UCSI memiliki tiga kampus yang terletak di Kuala Lumpur, Kuching and Port Dickson. – MalaysiaGazette