Che Sukri (tengah) dan Akmal Nadzim (kiri) bertanyakan sesuatu kepada pasangan kekasih yang dicekup berkhalwat di sebuah hotel bajet di Klebang, Melaka awal pagi tadi.

MELAKA – Seorang janda dan kekasihnya yang kali pertama bertemu selepas tiga bulan berkenalan antara tiga pasangan dicekup berkhalwat di sebuah hotel bajet di sini awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat berkata, wanita berusia 32 tahun itu dan kekasihnya berusia 22 tahun yang masih bujang diserbu JAIM kira-kira pukul 2 pagi tadi dalam Operasi Cegah Jenayah Syariah sempena cuti umum Thaipusam.

Menurutnya, hasil soal siasat, janda yang tidak mempunyai anak dan bercerai pada 2017 itu mengaku pertama kali bertemu dengan kekasihnya itu yang dikenali di laman sosial sejak tiga bulan lalu.

“Wanita itu tinggal di Klebang memberi alasan mereka terpaksa bermalam di hotel selepas kekasihnya berasal dari Kelantan  bertemu dengan keluarganya pada sebelah siang.

“Mereka mendakwa ada perancangan untuk berkahwin dan sepatutnya hari ini, wanita itu pula akan pulang ke Kelantan bertemu dengan keluarga teman lelakinya itu,” katanya.

Che Sukri Che Mat

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai operasi berkenaan bersama Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Negeri Melaka, Akmal Nadzim Abdullah yang berakhir pukul 5 pagi tadi.

Menurutnya, lelaki itu yang masih bujang dan bekerja sendiri serta kekasihnya yang menganggur kemudian dibawa ke pejabat JAIM bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman.

Che Sukri berkata, dalam operasi selama lima jam itu, pihaknya berjaya menahan tiga pasangan kekasih berusia antara 23 tahun hingga 50 tahun untuk siasatan di bawah Seksyen 53.

Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara sehingga 24 bulan atau kedua-duanya sekali.

“Dalam operasi sama, JAIM mengeluarkan tujuh saman hadir kepada tujuh individu mengikut Seksyen 71 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana melakukan perbuatan tidak sopan di tempat awam.

“Sabit kesalahan mereka boleh didenda sehingga RM1,000 dan penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya sambil menambah pemeriksaan dilakukan di kawasan Pantai Puteri dan Pantai Klebang. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast