MELAKA – Sebuah restoran asam pedas di Banda Hilir, di sini, menjadi premis pertama memperkenalkan asam pedas sebagai Menu Rahmah bagi membolehkan golongan B40 mendapatkan hidangan pada harga RM5.
Pemilik Restoran Asam Pedas Selera Kampung (APSK), Saharudin Mohd Nor, 56, berkata, idea itu timbul selepas berasa tercabar melihat kesungguhan kerajaan mengurangkan beban kos sara hidup rakyat ketika ini.
Selain itu katanya, usaha itu juga sekali gus dapat mempromosikan lagi makanan asam pedas yang sememangnya terkenal di negeri Hang Tuah itu.
“Sebenarnya memang agak mustahil juga untuk sediakan menu asam pedas dengan pilihan ayam, daging tetel dan ikan kembung pada harga RM5 sepinggan bersama nasi putih, sayur kubis, telur masin dan air mineral.
“Namun setelah saya berbincang dengan pembekal untuk mendapatkan harga lebih rendah, kami lihat Menu Rahmah ini boleh dibuat tapi untuk permulaan, kami hadkan kepada 100 pelanggan pertama sehari pada setiap hari Isnin dan Khamis,” katanya di sini hari ini.
Saharudin berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Menu Rahmah APSK di restorannya sambil disaksikan Pengarah
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Norena Jaafar.
Inisiatif Menu Rahmah dilancarkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub di Subang Jaya, Selangor pada 31 Januari lalu yang menawarkan makanan siap masak pada harga RM5 dan susulan daripada libat urus industri yang dilaksanakan pada 26 Januari lalu.
Menu Rahmah adalah makanan tengah hari atau malam yang seimbang merangkumi nasi, satu pilihan protein seperti ayam atau ikan dan sayuran.
Mengulas lanjut, Saharudin yang sudah menjalankan perniagaan makanan sejak 32 tahun lalu tidak menolak kemungkinan akan memperluaskan lagi hidangan itu di tiga lagi rangkaian restoran keluarganya itu.
“Setakat ini, di restoran saya hadkan Menu Rahmah ini pada Isnin dan Khamis kerana mahu fokuskan hidangan ini kepada golongan B40 yang bekerja di Melaka supaya ianya sampai kepada golongan sasar.
“Jika mendapat sambutan, mungkin anak saya akan perkenalkan pula Menu Rahmah asam pedas ini di restorannya pada hari-hari yang lain,” katanya. – MalaysiaGazette.