M Mizwan Omar didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, hari ini selepas mengaku bersalah menyembunyikan wang berjumlah RM17,000 milik wanita warga emas mangsa 'love scam' dalam akaun bank miliknya, enam tahun lalu.

MELAKA – Seorang cef didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyembunyikan wang RM17,000 milik wanita warga emas mangsa love scam dalam akaun bank miliknya enam tahun lalu.

Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu terhadap M. Mizwan Omar, 43, yang membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati menyembunyikan wang RM17,000 milik pengadu, Hafshah Muhammad, 64, dalam akaun Maybank miliknya dengan mempunyai sebab untuk mempercayai ia diperoleh dengan cara penipuan.

Kesalahan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan itu dilakukan di Maybank Ayer Keroh pada 26 Julai 2017 dan sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga lima tahun atau denda kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, pengadu berkenalan dengan lelaki warga United Kingdom (UK), Franklin Marcelo Scott melalui laman sosial Interpal.net pada Jun 2014 sebelum menyatakan hasrat meminjam RM17,000 pada Julai 2017 selepas tiga tahun perkenalan.

Pengadu kemudian memindahkan wang ke akaun Maybank rakan kenalannya itu atas nama tertuduh di Malaysia seperti diarahkan pada 26 Julai 2017.

Bagaimanapun, hutang pengadu itu tidak dilangsaikan sehingga Disember 2017 sebelum tertuduh membuat semakan dan mendapati alamat laman sosial Skype digunakan Franklin Marcelo Scott adalah di Malaysia dan bukan di UK.

Tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Muhammad Izzuddin Ab Malek dalam rayuannya memohon denda yang rendah kerana perlu menanggung dua anak selain hanya meminjamkan kad ATM serta butiran akaun miliknya kepada seorang wanita yang mahu memindahkan duit itu kepada anaknya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, J. Banusha bagaimanapun memohon hukuman setimpal.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Majistret Mazana kemudian mengarahkan tertuduh didenda RM3,500 atau enam bulan penjara jika gagal bayar. – MalaysiaGazette.