MELAKA – Sebanyak 25 peniaga makanan di negeri ini sudah menyatakan komitmen untuk memperkenalkan Menu Rahmah di premis mereka dalam usaha membantu golongan B40 di negara ini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Norena Jaafar berkata, setakat ini pihaknya sudah mendapat reaksi positif daripada empat persatuan perniagaan makanan yang mempunyai 15,000 keahlian di seluruh negara.
“Semua ahli mereka bersetuju terhadap saranan Menu Rahmah ini untuk dilaksanakan tanpa paksaan mengikut kemampuan masing-masing.
“Di Melaka, kita ada kira-kira 25 peniaga makanan yang bersetuju menawarkan menu makan tengah hari atau malam pada harga RM5 ini dan jika segalanya berjalan lancar, kita akan umumkan dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan pelancaran Menu Rahmah di Restoran Asam Pedas Selera Kampung di Banda Hilir di sini yang menjadi restoran asam pedas pertama memperkenalkan hidangan itu.
Menu Rahmah adalah makanan tengah hari atau malam yang seimbang merangkumi nasi, satu pilihan protein seperti ayam atau ikan dan sayuran.
Inisiatif menu itu dilancarkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub di Subang Jaya, Selangor pada 31 Januari lalu yang menawarkan makanan siap masak pada harga harga RM5.
Mengulas lanjut Norena berkata, pihaknya akan sentiasa memberi penerangan tepat kepada pengusaha makanan di negeri ini susulan wujud kekeliruan mengenai mekanisme pelaksanaan Menu Rahmah.
“Sebenarnya, Menu Rahmah ini boleh dilaksanakan secara sukarela tanpa paksaaan oleh mana-mana peniaga mengikut kemampuan mereka dan tidak semestinya dilakukan setiap hari.
“Kalau peniaga itu mampu buat Menu Rahmah itu sehari atau dua kali seminggu pun, dan terhad kepada kuantiti tertentu, itu pun sudah memadai dan sangat dialu-alukan.
“Peniaga juga tidak seharusnya terbeban dalam usaha kerajaan untuk membantu mengurangkan kos sara hidup golongan sasar ini terutamanya kumpulan berpendapatan rendah B40,” katanya – MalaysiaGazette.