Datuk Che Sukri Che Mat

MELAKA – Sepasang kekasih yang juga pelajar tahun akhir sebuah institut pengajian tinggi (IPT) dicekup berkhalwat di sebuah hotel bajet di pusat bandar Melaka, di sini malam tadi.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat berkata, pasangan masing-masing berusia 24 tahun itu diserbu JAIM yang melakukan operasi selepas mendapat maklumat awam pukul 12 tengah malam tadi.

“Ketika diperiksa, pasangan berusia 24 tahun itu mengaku mereka belum berkahwin dan tiada hubungan mahram selain si lelaki cuba menipu penguat kuasa mendakwa bekerja sebagai pengusaha kebun buah di Selangor.

“Bagaimanapun hasil pemeriksaan lanjut, kedua-dua mereka mengaku adalah pelajar tahun akhir akhir Ijazah Sarjana Muda di sebuah IPT di sini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, kedua-dua mereka yang masih bujang memberi alasan penat berjalan di pusat beli belah dan memilih untuk menginap di hotel berkenaan walaupun asrama perempuan dan rumah sewa kekasihnya itu tidak jauh dari pusat beli belah.

Pasangan itu disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara sehingga 24 bulan atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette.