Wakil pelajar menerangkan reka bentuk dan inovasi model rumah terapung kepada Dekan PPUK, Dr. Lutfan Jaes.

KUALA LUMPUR – Pelajar Kursus Kokurikulum Berkredit (KKB) Pengurusan Kreativiti Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) telah menganjurkan Seminar Rumah Terapung sebagai alternatif kepada masyarakat di kawasan sering dilanda banjir.

Pengajar kursus, Syukri Yazed berkata, seminar itu diadakan hasil daripada pelaksanaan projek Sustainable Engagement Project (SEP) yang pertama kali diperkenalkan oleh Pusat Pengajian Umum & Kokurikulum (PPUK) dalam usaha menerapkan salah satu daripada 17 nilai Sustainable Development Goal (SDG).

“Seminar yang dikendalikan oleh 34 pelajar kursus berkenaan telah diadakan pada Januari lalu bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya membina satu kediaman yang selamat daripada bencana itu.

“Projek ini memberi tumpuan kepada inovasi reka bentuk dan fungsi rumah terapung bagi mengatasi masalah banjir sekali gus sebagai usaha mencapai matlamat nilai SDG yang ke-13 iaitu Climate Action,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

TSeminar yang sama turut disertai Dekan PPUK, Dr. Lutfan Jaes dan Ketua Jabatan Keusahawanan, Daya Usaha dan Inovasi dan Sastera Liberal, Dr. Mohd Azhar Harimon.

Jelas Syukri, Malaysia mengalami banjir besar yang pertama yang dicatatkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) pada tahun 1969 dan bencana itu berlarutan setiap tahun.

“Pelbagai bantuan seperti penempatan, makanan, keperluan harian dan kewangan diberikan oleh kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan untuk membantu mangsa banjir yang mengalami kerosakan dan kehilangan harta benda.

“Namun perlu ada satu usaha lain untuk membantu mangsa banjir yang sering berpindah keluar dari kediaman apabila banjir melanda,” katanya.

Sementara itu, Lutfan berkata, perkongsian ilmu seumpama itu adalah permulaan kepada pelajar untuk menghasilkan suatu produk yang boleh dikomersial dan dibentangkan kepada pihak kerajaan serta NGO.

Ia bagi mewujudkan satu penempatan yang selamat untuk kawasan yang telah diwartakan sebagai kawasan banjir.

“Namun begitu, perlu diperincikan dengan lebih jelas lagi setiap bahan dan sistem dalam model perumahan itu untuk menjadikan projek rumah terapung sebagai rumahku syurgaku,” katanya. – MalaysiaGazette