Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Datuk Seri Fadillah Yusof (kanan) serta barisan kepimpinan parti bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduaan di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 07 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Sekretariat Kerajaan Perpaduan bersetuju menubuhkan tiga jawatankuasa dengan fungsinya masing-masing dalam mesyuarat pertamanya malam ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketiga-tiganya adalah Jawatankuasa Strategi, Jawatankuasa Pilihan Raya dan Jawatankuasa Agenda Kerajaan dan Politik.

Jelas beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, Jawatankuasa Pilihan Raya akan menumpukan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja.

“Jawatankuasa ini tentunya akan membincangkan PRN terutama pembahagian kerusi dan menumpukan kegiatan untuk memastikan kita mempunyai tapak kukuh untuk menghadapi PRN.

“Di dalam Jawatankuasa PRN ada termasuk strategi komunikasi kerana kita kadang-kadang berdepan dengan kenyataan-kenyataan fitnah melampau.

“Jawatankuasa ketiga adalah Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik yang mengambil kira pandangan manifesto yang dikemukakan dan dasar yang juga melibatkan kos sara hidup dan kerjasama di antara semua kaum dan negeri,” katanya ketika sidang media.

Anwar berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Sekkretariat Kerajaan Perpaduan di Menara Dato’ Onn malam ini.

Menurut Anwar,  Jawatankuasa Pilihan Raya bakal diketuai oleh Pengarah Pilihan Raya parti yang akan diumum kelak.

Dalam masa yang sama, katanya, mesyuarat pada malam ini turut bersetuju struktur pimpinan sekretariat untuk bersidang setiap bulan dan dalam beberapa minggu ini.

“Saya ucap terima kasih mereka berikan persetujuan untuk saya pengerusikan dan ketua-ketua parti gabungan jadi timbalan pengerusi dan pimpinan naib jadi pimpinan naib pengerusi.

“Kemudian sekretariat diketuai oleh Setiausaha Agung iaitu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadhilah Yusof dan Ketua Sekretariat, Datuk Seri Dr. Asyraf Wajdi dan pimpinan parti lain dilantik menganggotai majlis pimpinan  Sekretariat Kerajaan Perpaduan,” jelasnya.

Sementara itu, Anwar berkata, perihal pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah bidang kuasa sultan dan menteri besar setiap negeri.

Bagaimanapun, katanya, Jawatankuasa Pilihan Raya bakal memuktamadkan perkara berkaitan pembahagian kerusi.

“Itu kerajaan negeri dan sultan masing-masing akan selesaikan saya tidak boleh boleh mewakili menteri besar dan sultan,” tambahnya. – MalaysiaGazette