KEPALA BATAS – Srikandi Muda Bersatu Pulau Pinang serta Ameerah (Dewan Muslimah Pas) mengadakan perbincangan strategi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Majlis yang dipengerusikan Pengarah Ameerah Malaysia, Dr Mastura Mohamad merangkap Ahli Parlimen Kepala Batas itu mencapai keputusan untuk memberi pendedahan awal kepada golongan wanita muda menyertai arena politik.
Ketua Srikandi Muda Bersatu Pulau Pinang, Nurzawani Salam berkata, isu menarik wanita muda diberikan penekanan dalam perbincangan itu memandangkan golongan ini merupakan pelapis baru yang akan menggantikan pemimpin sedia ada.
Katanya, penglibatan wanita muda dalam arena politik sesuatu yang penting susulan bimbang tiada wakil yang akan ketengahkan suara golongan ini sekiranya penglibatan mereka kurang.
“Pendedahan serta kesedaran awal mengenai kepentingan penglibatan wanita muda dalam arena politik antara strategi yang dibincangkan kami dalam menghadapi PRN nanti.
“Selain itu, kita akan memberi fokus dalam mengendalikan media sosial parti agar ia menjadi medium untuk menyebarkan pengetahuan serta kesedaran politik sihat kepada golongan muda.
“Kita juga akan mengatur strategi untuk menarik minat serta menyuntik semangat anak muda turun padang bagi memberi sokongan kepada calon Perikatan Nasional (PN) memandangkan PRN kali ini pasti menyaksikan pertembungan hebat,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Terdahulu, Nurzawani bersama barisan pimpinan Srikandi Muda Bersatu negeri mengadakan pertemuan dengan Mastura hampir dua jam di sebuah restoran di sini, bagi membincangkan beberapa isu termasuk persediaan mereka dalam membantu PN menjelang PRN.
Dalam pekembangan lain, Nurzawani berkata, pihaknya turut membincangkan untuk berkolaborasi dalam menganjurkan program kemasyarakatan pada masa akan datang.
“Kita cadang untuk laksanakan program keusahawanan kepada golongan wanita khususnya agar ia dapat membantu ekonomi mereka.
“Selain itu, program cara menangani tekanan dan mental yang sihat serta ‘outdoor sport’ supaya ketahanan mental sentiasa terjaga turut diketengahkan dalam perbincangan itu.
“Kita tengok sekarang ini ramai wanita muda menghadapi masalah kemurungan, tekanan dan juga masalah rumahtangga jadi di sini pentingnya penglibatan mereka untuk menjaga hak-hak masing-masing,” jelasnya. – MalaysiaGazette