Ruslan (kiri) melancarkan mahrajan MESMA peringkat kebangsaan di Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Yayasan Islam Negeri Kelantan (YIK) melancarkan Mahrajan Memanah Sekolah Menengah Agama Malaysia (MESMA) peringkat Kebangsaan kali keempat hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAKIM, Ruslan Said.

MESMA akan berlangsung selama empat hari bermula 6 hingga 9 Ogos ini di Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian.

Dua acara telah dipertandingkan iaitu recurve dan tradisional dengan pemilihan pemain di peringkat sekolah bemula Mac ini.

Pertandingan di peringkat sekolah dan zon hingga daerah akan dibuat pada Mei ini, manakala peringkat negeri Jun hingga Julai.

“Semua ini adalah persiapan ke peringkat kebangsaan pada 6 hingga 9 Ogos ini,” kata JAKIM dalam kenyataan kepada media.

Seramai 196 peserta iaitu lelaki dan perempuan dari 14 negeri terlibat.

Semua peserta adalah pelajar dari Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN),  Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dengan keseluruhan kontinjen melebihi 500 orang termasuk pegawai, pengadil dan urusetia pertandingan.

Objektif penganjuran program adalah untuk menerapkan nilai semangat bersaing secara sihat, berkeyakinan dan fokus terhadap apa jua yang dilakukan.

Di samping itu, untuk mengembangkan potensi pelajar ke arah menguasai kemahiran, bakat dan kebolehan yang dimiliki mereka untuk dikembangkan ke peringkat lebih tinggi.

Berdasar rekod pencapaian mahrajan sebelum ini, terdapat beberapa peserta telah dipilih sebagai atlit peringkat negeri ke peringkat kebangsaan seperti SUKMA dan Kejohanan Memanah Kebangsaan.

Pihak penganjur meletakkan sasaran, peserta bukan sahaja berjaya mencipta kejayaan di peringkat kebangsaan tetapi diharapkan mencipta kejayaan sehingga ke peringkat antarabangsa. – MalaysiaGazette