MELAKA – Kes demam denggi di negeri ini merekodkan peningkatan sebanyak 37.3 peratus dalam tempoh lima minggu pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, ia menyaksikan 103 kes denggi direkodkan sejak 1 Januari sehingga 4 Februari lalu berbanding 75 kes tahun lalu.
“Sehingga minggu epid kelima yang berakhir pada 4 Februari lalu, sebanyak 103 kes denggi didaftarkan di negeri ini sekaligus meningkat 28 kes atau 37.33 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Daerah Melaka Tengah mencatatkan rekod tertinggi iaitu 79 kes diikuti Jasin dan Alor Gajah masing-masing 17 dan tujuh kes,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, bagi daerah Melaka Tengah, kawasan Ayer Keroh dan Bukit Katil dikesan menjadi hotspot apabila masing-masing mencatatkan 23 dan 10 kes.
“Tiga lokaliti di daerah Melaka Tengah yang dikesan sebagai kawasan panas wabak denggi adalah Taman Bunga Raya, Taman Seri Cempaka dan Pangsapuri Taman Tasik Utama di Ayer Keroh yang keseluruhannya mencatatkan 23 kes.
“Bagaimanapun, tiada kematian direkodkan dalam tempoh minggu epid kelima ini,” katanya. – MalaysiaGazette.