Anggota penguat kuasa Maqis memeriksa barangan-barangan yang dirampas.

MELAKA – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Melaka berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk pelbagai hasil pertanian dan haiwan secara tidak sah dari negara jiran, semalam.

Ia dirampas daripada 10 individu yang masuk ke negara ini melalui Terminal Feri Antarabangsa, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Muara Sungai Melaka dari Dumai dan Bengkalis, Indonesia.

Pengarah MAQIS Melaka, Nora Dinah Abdul Rahman berkata, tindakan itu terbongkar hasil pemeriksaan pegawai penguat kuasa MAQIS ke atas beg pakaian yang dibawa 10 individu terbabit di terminal feri berkenaan sebelum menemukan barangan hasilan haiwan seperti susu tin, sosej daging dan telur segar.

“Modus operandi digunakan segelintir penumpang ini adalah dengan menyembunyikannya dalam bagasi pakaian yang dibalut dengan kemas bagi mengaburi Pegawai Penguat Kuasa MAQIS.

“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama dengan Kastam Diraja Malaysia atas kesalahan cubaan membawa masuk barangan pertanian tanpa sebarang dokumen pengimportan seperti Permit Import MAQIS dan Sijil Kesihatan Veterinar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, perbuatan mengimport komoditi pertanian dan hasilan ikan tanpa permit import yang sah menjadi suatu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama.

“Sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

“MAQIS sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk negara ini bagi menjamin keselamatan keluaran haiwan dan hasilan haiwan yang masuk ke dalam
negara dan mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette.