Tertuduh, Sushant Shah, 27, didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh Melaka hari ini selepas mengaku bersalah mencabul kehormatan seorang gadis bulan lalu.

MELAKA – Seorang pekerja kilang warga Bangladesh didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencabul kehormatan seorang gadis bulan lalu.

Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Sushant Shah, 27, yang membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang remaja perempuan Melayu berusia 19 tahun dengan maksud mencabul kehormatannya.

Perbuatan itu dilakukan dengan cara memegang punggung mangsa di hadapan kedai serbaneka, Bachang Permai, Rumah Pangsa Bachang, di sini, pada jam 9.10 malam 14 Januari lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau dua daripada hukuman itu.

Mengikut fakta, ketika kejadian mangsa (pengadu) sedang menunggu rakannya membeli barang ketika berada di luar sebuah kedai serbaneka di Bachang.

Tertuduh yang tiba-tiba lalu dari arah belakang dan terus menepuk punggung pengadu sebelum berlalu membuatkannya terkejut.

Terdahulu Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Nora Yaacob memohon hukuman berbentuk pengajaran dikenakan kepada tertuduh selain perintah dirujuk kepada pihak Imigresen.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman ringan sambil menyatakan kesediannya meminta maaf kepada mangsa.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Majistret Mazana mengarahkan tertuduh didenda RM5,000 atau dipenjara enam bulan jika gagal bayar. – MalaysiaGazette.