Musa (duduk, empat dari kanan) bersama barisan MHO dan mangsa kutu skim Saving Sapiza.

SHAH ALAM – Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan mengesyorkan kerajaan mewujudkan semula undang-undang pencegahan bagi membanteras sindiket penipuan yang semakin berleluasa kebelakangan ini.

Beliau berkata, di bawah undang-undang biasa selepas Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dimansuhkan, polis terpaksa mengambil masa lama untuk menjalankan siasatan ke atas individu yang terbabit dalam sindiket penipuan kewangan.

Katanya, dalam kes penipuan skim kutu Saving Sapiza, sudah tentu polis hanya menjalankan siasatan di bawah akta atau seksyen sedia ada bukan menggunakan Akta POCA.

“Jadi, saya syorkan kepada kerajaan, kita perlu ada undang-undang pencegahan seperti POCA. Sekarang polis tidak dapat kuatkuasakan undang-undang itu.

“Dengan adanya POCA yang sudah ditambahbaik, mereka yang terlibat dalam sindiket haram ini dapat ditangkap bawah akta pencegahan.

“Untuk siasat mereka bawah akta biasa ambil masa yang lama. Kes Saving Sapiza ini ada ketua yang digelar ibu kutu, ada agen yang ramai digelar sebagai admin dan mereka ini bersubahat menipu orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama 25 mangsa skim penipuan pelaburan kutu di sini hari ini.

Mengenai kes penipuan skim kutu itu, Musa menyamakan skim itu seperti skim Labu Peram atau Pak Man Telo yang melakukan kesalahan jenayah.

Beliau bagaimanapun menyatakan, kes seumpama itu dapat dicegah sekiranya pihak bank segera memberikan laporan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai berlaku urusan keluar masuk wang yang secara besar-besaran.

Katanya, jika transaksi itu agak luar biasa, BNM boleh dengan segera membekukan akaun berkenaan sekali gus dapat mengelakkan orang ramai (mangsa) membuat urusan pembayaran ke akaun nak skim berkenaan.

“Ini tidak akan menyebabkan kerugian yang banyak kepada mangsa. Kerjasama ini penting antara bank, BNM dan polis supaya dapat mencegah lebih awal agar tidak menjadi lebih parah.

“Kita juga perlu wujudkan hubungan kerjasama antara semua agensi supaya mereka dapat menjalankan tugas dengan lebih tegas, cepat untuk mengenal pasti mana-mana syarikat yang mewujudkan skim haram ini,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ustaz, polis antara mangsa penipuan skim kutu Saving Sapiza – MHO

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast