Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Rafizi Ramli (tengah) diiringi Timbalan Menteri Ekonomi, Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib (dua kiri) bergambar bersama selepas Majlis Kick-Off Dialog Strategik Pemeriksaan Industri Untuk Memacu Pertubuhan Ekonomi Dalam Era (4IR) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 10 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Platform Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) akan diaktif semula bagi mempercepatkan dan memudahkan urusan perniagaan dan industri di antara pihak kerajaan dan swasta.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ini kerana platform itu juga mampu menyelesaikan proses dan juga prosedur perniagaan di peringkat kerajaan.

Beliau memberitahu, PEMUDAH mempunyai kesan yang baik namun agak perlahan kebelakangan ini selepas diwujudkan lebih 15 tahun lalu.

“Saya telah maklumkan kepada wakil-wakil industri bahawa pentadbiran ini akan memulakan kembali platform PEMUDAH.

“Ia akan dipengerusikan bersama oleh saya sebagai Menteri Ekonomi dan Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Mohd. Zuki Ali) mewakili pentadbiran kerajaan.

“Harapan kami, (inisiatif) ini akan mempercepatkan lagi usaha kita untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi dan pasaran yang mesra perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sesi ‘Kick-Off’ Dialog Strategik: Pemerkasaan Industri Untuk Memacu Pertumbuhan Ekonomi Dalam Era Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rafizi menambah, Pemudah perlu semula kerana dari segi kebolehsenangan melakukan perniagaan adalah sangat penting kepada pelabur dan kepada perniagaan.

Sementara itu, PEMUDAH adalah inisiatif kerajaan yang ditubuhkan pada 2007 untuk memudahkan kerjasama sektor awam-swasta.

Ia bertujuan untuk meningkatkan peranan sektor swasta sebagai pemacu utama produktiviti dan pertumbuhan ekonomi, serta menjalin hubungan strategik yang kukuh dengan kerajaan. – MalaysiaGazette