MELAKA – Penubuhan Lembaga Unggas Negara bagi menstabilkan harga ayam dan telur dalam usaha kerajaan menyelesaikan pelbagai isu dihadapi rakyat masih di peringkat perbincangan
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, setakat ini ia masih belum mempunyai sebagai keputusan bagi memastikan ekosistem industri ternakan negara berfungsi dengan lebih jelas dan berkesan.
“Itu (penubuhan Lembaga Unggas) di peringkat perbincangan dan kita akan teruskan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Perasmian Bangunan Kilang Milagro yang membekalkan baja organik di Krubong, di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Milagro, Mat Jantan.
Sebelum ini media melaporkan desakan beberapa pihak supaya Lembaga Unggas Negara diwujudkan yang dilihat mampu menyelesaikan penyelesaian isu berkaitan bekalan ayam dengan berteraskan perincian mendalam dan strategi lebih menyeluruh.

Mengulas lanjut Mohamad Sabu berkata, isu kekurangan bekalan telur ayam hari ini adalah isu global yang turut melanda negara-negara luar berpunca daripada kenaikan harga makanan ternakan seperti soya dan jagung.
“Kita akan akan kaji dan berbincang dengan pihak pengeluar telur dan sebagainya supaya keadaan telur stabil kerana negara lain pun hadapi masalah yang sama.
“Ini kerana kita berdepan dengan benda hidup, kalau dah stabil tapi berlaku penyakit hawar misalnya yang menyebabkan kematian ayam juga akan berlaku perbezaan harga,” katanya.
Tambahnya, kerajaan akan melihat hal itu dari semasa ke semasa namun apa yang lebih utama adalah bekalan sentiasa ada di pasaran.
“Dia (bekalan telur pulih) tak boleh (sama) macam jalan raya yang kita boleh kata siap pada Julai 2023, benda hidup kita tidak boleh kata bila ia akan selesai, tapi paling penting kita nak keberadaannya di pasaran beradaannya,” katanya. – MalaysiaGazette.
















