Aina ketika menyanyikan lagu Terus Hidup pada pertandingan Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-37 yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Lagu Terus Hidup hasil karya dan nyanyian Aina Abdul diumumkan sebagai Juara menerusi Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-37 yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini, malam tadi.

Aina yang merangkul tempat juara turut memenangi vokal terbaik, sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM112,000 dan dua trofi.

Naib Juara pula diberikan kepada Joe Flizzow dan Sonaone yang mendendangkan lagu Satu Malam Di Temasek yang dicipta oleh mereka berdua.

Kedua-dua mereka membawa pulang trofi dan wang tunai RM50,000.

Menduduki tempat ketiga ialah Alif Satar dengan lagu Anugerah Terindah ciptaan beliau bersama Shah Shamshiri dan Romeo bersama komposer, Mas Dewangga, Jova Devito, Firdaus Rahmat, Mike Chan, Karim Karam & Acap Salim, membawa pulang trofi dan RM30,000.

Kategori Persembahan Terbaik pula dimenangi Shiha Zikir dengan lagunya Irama dan beliau membawa pulang wang tunai RM12,000 serta trofi.

Sementara itu, Khai Bahar pula memenangi kategori Penyanyi Pilihan Popular Alha Alfa dan beliau membawa pulang hadiah RM12,000 dan juga trofi. – MalaysiaGazette