MELAKA – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini hari ini atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan bawah umur, bulan lalu.
Tertuduh Muhammad Eizhan Shah Abdullah, 19 yang mempunyai seorang anak bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 15 tahun lapan bulan dengan cara menyentuh bahagian anggota sulit remaja itu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Muhammad Eizhan turut berdepan satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan atas dakwaan merogol remaja sama, yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara antara 10 hingga 30 tahun dan juga sebatan
Kesemua kesalahan itu dilakukan di bilik stor motor lif, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong, dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 10 malam, 11 Januari lalu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri memohon mahkamah untuk tidak membenarkan jaminan, bagaimanapun mencadangkan jumlah RM 50,000 sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara.
Tertuduh yang diwakili peguam Muhamad Syah Azlan Abdullah bagaimanapun merayu jumlah itu dikurangkan dengan alasan tertuduh yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia setahun itu perlu menanggung keluarga.
Hujahnya lagi, anak guamnya itu juga diberhentikan kerja sebagai sebagai pembantu di kedai peralatan logam sejak ditahan polis awal bulan lalu.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Elesabet kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 serta dilarang menganggu mangsa yang juga saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Mahkamahmenetapkan 29 Mac depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen. – MalaysiaGazette.